Followers

Sunday, October 25, 2015

Apa Tujuan Kita Menuntut Ilmu?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

                Ada satu kelas yakni Kelas Pengenalan kepada Kajian Antarabangsa atau nama formalnya Introduction to International Relations. Dan dalam satu kelas tu, pensyarah telah memainkan satu video yang menceritakan tentang zaman Islam di Sepanyol. Dan dalam satu babak video ni, menceritakan tentang dua orang pemuda yang mencari ilmu yang hilang akibat kejatuhan kerajaan Islam Cordova (yakni pada 1031M) dan dua orang pemuda ini betul-betul dahagakan ilmu. Mereka berusaha keras sepanjang hayat mereka mencari ilmu untuk dikembangkan semula. Babak itu dalam video tersebut telah memberi satu pengajaran kepada saya tentang pentingnya kita mencari ilmu.

                Kembali pada tajuk asal, apa tujuan kita belajar? Kita pergi semula ke zaman persekolahan terutamanya masa SPM dahulu. Ingatkah kita apa tujuan kita pergi sekolah dan menuntut ilmu ketika itu? Jujurlah masa tu tujuan saya di sekolah dan belajar adalah untuk mencapai keputusan “straight A+” dalam SPM walaupun hakikatnya hanya mampu capai 7A sahaja. Jadi saya terfikir ;

kenapa aku belajar kerana bilangan A?
Kenapa aku belajar bukan kerana tujuan  yang sepatutnya?

Persoalan ini masih terngiang sampai di saat saya menaip untuk post ni. Sebab selepas SPM, saya masih mempunyai tujuan yang sama ketika berada di matrikulasi dan kini di UNIMAS iaitu untuk mencapai keputusan cemerlang. Ataupun tabiat yang saya dan/atau kawan-kawan saya sering lakukan ketika belajar iaitu enjoy dulu, study last minit dan merungut susah selepas peperiksaan. 

“Orang yang tidak mencintai ilmu tidak akan dapat memperoleh kebaikan dan tidak memiliki hubungan dekat dengan ilmu itu sendiri dan pengetahuan” – Imam Syafie

                Tujuan tu sebenarnya sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara. Macam dalam assignment yang kita selalu buat, mesti ada objektif assignment. Tujuan ni macam hala tuju kita dalam proses melakukan sesuatu. Dalam proses menuntut ilmu merupakan satu ibadah yang wajib ke atas setiap umat Islam. Dan tujuan kita belajar dalam alam persekolahan hinggalah ke alam universiti mesti berlandaskan hasrat kita yang sebenarnya. Bukannya berlandaskan keputusan peperiksaan semata-mata. Saya setuju kalau ada yang kata bahawa tujuan kita menuntut adalah kerana Allah tapi biarlah lebih spesifik. Kita menuntut ilmu bertujuan untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat dengan niat kerana Allah. Seperti mana yang berlaku ketika Zaman Keemasan Islam yang dimulakan oleh Kerajaan Abbasiyah pada 780M.   

                Akhir kata, saya sendiri masih dalam proses memperbetulkan niat dan tujuan saya belajar di UNIMAS.  Dan jujurnya saya bukannya hebat dalam proses pembelajaran ni. Nak buat post pun kena ada tujuan kan? Jadi apa yang saya cuba kongsikan adalah untuk kesedaran diri saya sendiri dan lain-lain. Cukup-cukuplah kita selama ini hanya mengambil ringan tentang proses menuntut ilmu ni. Keluarga kita terutamanya ibu bapa kita bersusah-payah mencari rezeki untuk hantar kita ke sekolah hinggalah ke universiti. Sekurang-kurangnya tujuan kita belajar adalah untuk membalas jasa ibu bapa kita. Moga Allah redha :)

No comments: